KAWASAN JKKK INI MERUPAKAN SALAH SATU KAWASAN YANG TERLETAK DITENGAH-TENGAH BANDAR MELAKA BERSEJARAH. IANYA MELIPUTI KAWASAN MENGUNDI IAITU KAMPUNG PENGKALAN RAMA TENGAH (1382101) DAN KAMPUNG DURIAN DAUN (1382105). OLEH KERANA KAWASANNYA KECIL MAKA DIGABUNGKAN KEDUA-DUA KAWASAN INI SUPAYA MENJADI SATU DAN DIPANGIL "JKKK PENGKALAN RAMA TENGAH". JKKK PENGKALAN RAMA TENGAH TERMASUK DIBAWAH KAWASAN JAPERUN DUN DUYUNG, PARLIMEN KOTA MELAKA. Y.B DATUK GAN TIAN LOO MERUPAKAN ADUN kAWASAN DUN DUYUNG.

UCAPAN PENGERUSI

ASSALAMUALAIKUM. Tahniah kepada ahli jawatankuasa 2009/2010 yang dilantik. Pertama sekali jangan peduli apa yang orang katakan, tetapi perlulah kita pedulikan apa yang Al-Quran dan Hadis katakan. Disamping apa yang perlu dan apa yang akan kita buat serta laksanakan. Diharap semua ahli akan bekerjasama bagi memajukan apa yang telah dirancangkan oleh Kerajaan Negeri Melaka khasnya yang mahukan "Melaka Maju 2010". Dalam konteks semangat kerja berpasukan pula ahli juga seharusnya mengutamakan soal Kepimpinan; Kesukarelaan; Kemahiran dan Bekerjasama. - En.Zaini Bin Ismail, Pengerusi JKKK Pengkalan Rama Tengah merangkap Timbalan Pengerusi Japerun Dun Duyung/Setiausaha Umno Bahagian Kota Melaka.

Tuesday, May 19, 2009

Sekadar Renungan.....Jika Hasil Tidak Halal ...............

PEKERJA adalah mereka yang mencari rezeki secara mendapat gaji atau upah dan tertakluk kepada peraturan tugas bagi memastikan mereka menghasilkan mutu kerja yang memuaskan seperti diamanahkan.

Kecemerlangannya adalah lambang kepada kejayaan kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi rakyat manakala kecemerlangan pekerja sektor swasta membawa keuntungan untuk majikan, sekali gus memberi peluang pekerja terus bekerja.

Untuk mencapai tahap cemerlang memerlukan setiap pekerja menanam azam, iltizam, penguasaan ilmu dan kemahiran bagi melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Pencapaian ini hanya terlaksana jika setiap pekerja mengikut peraturan kerja, amanah, jujur, ikhlas dan melakukan yang terbaik.

Ia bukan sekadar melaksanakan tugas, tetapi adalah amanah yang dipersoalkan di akhirat dan Islam tidak bertolak ansur dalam soal kecemerlangan serta kesempurnaan melaksanakan tugas oleh pekerja.

Setiap pekerja perlu sentiasa komited melakukan tugas agar menepati piawaian terbaik yang mampu dilakukan bukan saja demi majikan, tetapi melaksanakan amanah kerana Allah.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang apabila melakukan satu kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.” (Hadis riwayat Baihaqi).

Melaksanakan amanah samalah usaha untuk menunaikan janji yang wajib ditunaikan berdasarkan perjanjian menyerah tugas oleh majikan dan penerimaan tugas oleh pekerja.

Pihak yang melantik pekerja pastinya telah memilih calon terbaik daripada beribu calon yang memohon bagi melaksanakan sesuatu tugas dan pemilihan itu dengan harapan pekerja dapat menjadi pekerja terbaik.

Pemilihan selalunya dibuat berdasarkan kepada jangkaan kebolehan merujuk kepada kelulusan akademik, soal jawab atau kaedah lain yang dilakukan ketika proses pemilihan kerana amanah hendaklah diserahkan kepada yang layak melaksanakannya.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58).

Malah, secara konseptual pemohon sudah bersedia menerima tanggungjawab sebagai pekerja, maka mereka perlu membuktikan bahawa mereka adalah pilihan yang tepat serta bersedia melaksanakan tugas yang diserahkan kepadanya.

Tetapi, ramai yang memohon kerja sebenarnya bukan hendak bekerja, tetapi mengharapkan gaji / elaun dan inilah punca ramai pekerja apabila bekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna.

Sesiapa menerima amanah, sedangkan tidak mempunyai kesediaan untuk melakukan yang terbaik, maka padanya ada tanda-tanda sifat munafik.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Tanda munafik itu tiga perkara, pertama apabila seseorang itu bercakap dia sentiasa berbohong, apabila berjanji tidak pernah ditunaikan dan apabila diamanahkan dia khianati.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Nasai).

Setiap pekerja tertakluk kepada peraturan kerja yang ditetapkan oleh majikan serta gaji yang diberikan setimpal tugas dipertanggungjawabkan.

Pelaksanaan tugas dengan sempurna seperti ditetapkan perlu diusahakan bagi memastikan pendapatan yang diterima benar-benar bersih dan halal.

Jika seseorang pekerja tidak melaksanakan tugas dengan sempurna atau curi tulang, bermakna daripada hasil gajinya tidak halal baginya.

Sesiapa memakan makanan daripada sumber wang haram, maka tidak akan diterima amalan kebaikannya dan di akhirat nanti ditempatkan ke dalam neraka.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Untuk mengembalikan keberkatan hasil pendapatan, maka hendaklah setiap pekerja melakukan tugas seperti mana diamanahkan kepadanya dan sesiapa melakukan dengan sempurna, pekerjaan itu dinilai sebagai satu ibadat.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” (Hadis riwayat Thabrani).

Sekarang terdapat pekerja yang bukan saja gagal melaksanakan tugas tetapi turut melakukan kesalahan menerima rasuah atau pecah amanah sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang telah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara yang tidak sebenarnya.

Pemberi rasuah mengharapkan agar kehendaknya ditunaikan secara ‘istimewa’ seperti diberi keutamaan, dipercepatkan, diluluskan atau lepas daripada dikenakan tindakan, manakala penerima rasuah mendapat sesuatu balasan yang sepatutnya bukan haknya.

Sebagai Muslim, tidak wajar meletakkan matlamat setiap pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk keuntungan kebendaan.

Banyak jabatan penguatkuasa undang-undang gagal berfungsi disebabkan ramai kakitangan yang menerima rasuah menyebabkan sistem tugas ditetapkan menjadi kucar kacir seterusnya menggagalkan usaha pekerja lain yang bekerja dengan jujur.

Seorang yang mengamalkan perbuatan rasuah sanggup melakukan apa saja asalkan mendapat wang, pangkat dan kemewahan termasuk melakukan perbuatan membahayakan keselamatan negara.

Gejala rasuah berlaku disebabkan manusia tidak pernah mencapai tahap kepuasan sepenuhnya, kecuali mereka yang beriman dan bersyukur dengan nikmat hidup yang dikurniakan Allah.

Keburukan akibat rasuah kepada masyarakat dan negara amat dahsyat di mana semua agama meletakkan amalan berkenaan sebagai perbuatan amat keji dan perlu dijauhi sepenuhnya.

Dalam sejarah tamadun manusia, banyak kerajaan atau kuasa besar menjadi lemah dan seterusnya jatuh kepada kuasa lebih yang lemah disebabkan berleluasanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan dan pentadbiran.

Setiap pekerja mesti menunjukkan sikap dan tindakan profesional dalam melakukan tugas demi kepuasan pelanggan.

Pekerja yang baik sentiasa menjalankan tugas tanpa mengharapkan ganjaran tambahan, melainkan apa yang telah ditetapkan kepadanya selain sentiasa bersyukur dapat berkerja, sedangkan masih ramai yang tidak berpeluang bekerja.

Sekiranya dia impikan pendapatan yang lebih, dia melakukan dengan cara yang betul, berusaha lebih gigih agar gaji atau pangkatnya dinaikkan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails